Big Bad Wolf Books kembali, sokong usaha literasi dan sastera di Miri

Big Bad Wolf Books kembali, sokong usaha literasi dan sastera di Miri

MIRI, 24 Sept: Kembalinya Big Bad Wolf Books ke Miri bukan sahaja menawarkan lebih banyak pilihan buku kepada pengunjung, malah turut menyokong usaha memperkukuh budaya membaca dan sastera menerusi kerjasama dengan Sarawak Literature Festival 2026.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, sokongan Big Bad Wolf Books terhadap usaha literasi, mampu membantu menjadikan aktiviti membaca lebih dekat dan menyeronokkan kepada kanak-kanak.

“Sesi membaca dan perbualan bersama pendidik membantu menjadikan buku sesuatu yang lebih dekat dan menyeronokkan kepada kanak-kanak sejak usia awal.

“Akses kepada buku amat penting, terutama bagi keluarga dan sekolah yang perlu menguruskan peruntukan terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Kaunselor Yee Chung Meng pada Majlis Perasmian Big Bad Wolf Books Miri 2026 di Boulevard Shopping Mall, di sini, hari ini.

Big Bad Wolf Books katanya turut menyokong Sarawak Literature Festival 2026 anjuran Pustaka Negeri Sarawak yang berlangsung dari 23 hingga 27 September di Stadium Tertutup Miri, Pustaka Negeri Sarawak Miri dan Miri Handicraft Centre.

Menurutnya, kerjasama berkenaan memperluas peranan Big Bad Wolf Books melangkaui jualan buku dengan turut menyokong usaha meraikan penulis, buku, sastera dan warisan Sarawak.

“Acara seperti Big Bad Wolf Books dan Sarawak Literature Festival turut memberi sebab kepada pengunjung dari seluruh Sarawak dan negara jiran, Brunei, untuk datang ke Miri.

“Ia menggalakkan pertukaran budaya, memperkukuh persefahaman dalam masyarakat yang pelbagai serta menyokong perniagaan tempatan,” tambahnya.

Big Bad Wolf Books Miri 2026 berlangsung dari 24 September hingga 4 Oktober, setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

Pengunjung turut berpeluang menyertai kempen BBW Gold Rush untuk memenangi jongkong emas PAMP Suisse seberat lima gram menerusi mekanisme Spend & Win dan Snap & Win, tertakluk kepada terma dan syarat.

Pada hari perasmian, pembelian sekurang-kurangnya RM200 dalam satu resit memberikan lima penyertaan cabutan bertuah, berbanding dua penyertaan pada hari biasa, manakala peserta Snap & Win yang layak menerima tiga penyertaan cabutan bertuah pada hari sama.

Big Bad Wolf Books Miri 2026 turut menampilkan 40 peratus tajuk baharu, selain pelbagai pilihan buku dan tawaran khas untuk pengunjung. – TVS

 

https://www.tvsarawak.my/2026/09/24/big-bad-wolf-books-kembali-sokong-usaha-literasi-dan-sastera-di-miri/

Back to blog